Abdullah Nasih Ulwan menukilkan ukhuwwah dalam kitabnya ‘Ukhuwwah Islamiyyah’ (persaudaraan dalam islam).
Ukhuwwah merupakan anugerah kudus daripada Allah, sebagai suluhan Rabbaniyah dan nikmat Illahiyah. Allah mencampak ke dalam hati-hati hamba-hambaNya yang ikhlas, dalam hati para wali, orang-orang suci dan orang-orang yang bertaqwa dari kalangan makhlukNya.
Firman Allah dalam surah Al-anfal, ayat 63.
“kalau engkau membelanjakan apa yang ada di bumi semuanya pun engkau tidak dapat menyatukan antara hati-hati mereka, tetapi Allahlah yang menyatukan antara mereka.”
Ukhuwwah merupakan kekuatan iman di jiwa, yang mampu membuatkan perasaan seseorang menjadi lembut, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling percaya-mempercayai bersama setiap seorang yang terikat dalam tanggungjawab ‘aqidah islamiyyah, iman dan taqwa. Itulah kesedaran dan semangat persaudaraan yang sebenarnya yang dilahirkan dalam jiwa mu’min, perasaan yang paling murni dengan ikhlasnya, untuk melibatkan diri dan bertindak di tempat-tempat yang positif, seperti menolong, berkorban, berkasih sayang, memaaf dan bertenang apabila menghadapi kesukaran dan seumpamanya. Tetapi apabila berhadapan dengan perkara-perkara yang negatif, ia tidak melibatkan diri daripada perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan orang ramai, atau boleh merosakkan harta benda orang ramai, atau boleh mencemarkan maruah kemuliaan manusia.
Oleh yang demikian, ukhuwwah Fillah merupakan sifat yang berkait rapat dengan iman dan taqwa. Tanpa iman, tidak ada ukhuwwah. Dan sebaliknya, tanpa ukhuwwah tidak ada iman sama seperti “tidak ada hubungan kasih sayang tanpa taqwa, begitulah sebaliknya, tidak ada taqwa tanpa hubungan kasih sayang dalam persahabatan.
Kelebihan Ukhuwwah kerana Allah
i. Mendapat wajah seperti Nur
ii. Diampunkan dosa
iii. Berada di bawah lindungan arasy Allah pada hari kiamat
iv. Mendapat naungan kasih Allah
v. Ditempatkan di dalam syurga dan mendapat kerehaan Allah
vi. Dapat merasai kemanisan iman.
Syarat-syarat Ukhuwwah kerana Allah
- Ukhuwwah Ikhlas kerana Allah.
- Ukhuwwah mestilah disertakan dengan iman dan taqwa
- Ukhuwwah mestilah bertanggungjawab terhadap manhaj Islam
- Ukhuwwah mestilah tertegak atas nasihat menasihati kerana Allah
Cara-cara untuk mendalami ruh ukhuwwah kerana Allah
- Apabila seseorang mencintai saudaranya, maka hendaklah dia memberitahu bahawa dia mencintai saudaranya.
- Apabila hendak berpisah, mintalah saudara seukhuwwah mendoakan untuknya ketika berjauhan.
- Hendaklah segera berjabat tangan apabila bertemu saudara-dengan saudara.
- Hendaklah banyak menziarahi dari semasa ke semasa.
- Hendaklah mengucapkan tahniah kepada saudaranya di tempat munasabah.
- Hendaklah memberi keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
- Hendaklah memberi-hak ukhuwwah yang lengkap kepada saudaranya.